Salam Cikgu

January 3rd, 2008


Hari ini berlalu seperti biasa. Biasa tapi tetap istimewa dan tersendiri. Mana mungkin setiap saat adalah sama walaupun aktivitinya rutin. Selalu aku ingatkan mindaku begitu. Never take each moment for granted.

Mengadap pelajar-pelajar yang aneka ragam itu sudah menjadi rencah hidup seorang pendidik sepertiku. Bukan masalah besar lagi. Teringat pula zaman mula-mula bergelar pendidik dulu. Mahu separuh gila fikiranku dibuatnya. Kenangan dan pengalaman itu sungguh indah rupanya. Walaupun kala itu terasa begitu menyeksakan.

Hari ini masuk kelas yang agak corot. Biasalah, bila kelas corot sinonim dengan pelajar nakal. Sebaik menyampaikan salam, aku perasan yang cuma sepertiga pelajarnya perempuan. Wah! ini pasti mencabar. Pelajar lelaki yang jumlahnya mencecah duapuluh orang itu pasti menggamatkan suasana kelas. Aku memulakan pengajaran seperti biasa. Tepat sekali. Belum pun sepuluh minit berlalu, seorang pelajar (lelaki) mengajuk-ngajuk percakapanku. Aku diam. Pandang tepat kearahnya. Dia masih tersengih-sengih begitu. Kelas gamat berbaki gelak hilai pelajar lain. Pengalaman menjadikan aku matang mengawal situasi begini. Aku hampiri pelajar tadi.

“Kalau memang pun awak nak kuarang ajar, tolong jangan kurang ajar pada orang yang nak menyampaikan ilmu pada awak. Apa dosa saya pada awak?”. Lancar sekali. Hasil jerit perih hampir lima tahun menjadi pendidik.

Diam. Terdiam pelajar itu. Alhamdulillah. Tak perlu berhujah panjang. Pendekatan psikologi yang tepat lebih berkesan. Lalu kelas berjalan dengan lancar.

Mereka tidak terfikir pun. Dalam ketegasan cikgu mereka ini, hatinya cukup mengharapkan mereka lancar menadah ilmu. Kalau ketegasan yang perlu dibayar, sepanjang pengajaran ini akanku bertegas. Demi ilmu yang harus kalian cerna. Hidup ini bukan mudah. Dan gurumu ini terus berlakon tegas demi kalian.